Sebelum mempelajari Ilmu Tajwid sebaiknya mengetahui lebih dahulu bahawa setiap ilmu ada sepuluh asas yang menjadi dasar pemikiran kita. Berikutnya dikemukakan sepuluh asas Ilmu Tajwid:
1. Pengertian Tajwid menurut bahasa: Memperelokkan sesuatu.
Menurut istilah Ilmu Tajwid: Melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul serta memenuhi hak-hak setiap huruf yakni sifat aslinya, dan mustahak-nya yakni sifat mendatangnya.
Maksud sifat asli ialah sifat-sifat yang lazim ada pada huruf dan tidak dapat dipisahkan, seperti sifat Ghunnah (dengung yang lazim ada pada huruf nun dan mim), Jahr, Syiddah. Isti'la' dan sebagainya.
Maksud sifat mendatang ialah sifat-sifat yang timbul dari sifat asli seperti sifat Tafkhim timbulnya dari sifat Isti'la', dan Tarqiq timbulnya dari sifat Istifal dan sebagainya.
2. Hukumnya: Mempelajari Ilmu Tajwid adalah Fardhu Kifayah dan mengamalkannya yakni membaca Al-Qir'an dengan bertajwid adalah Fardhu 'Ain bagi setiap muslimin dan muslimat yang mukallaf.
3. Tumpuan perbincangannya: Pada kalimah-kalimah Al-Qur'an.
4. Kelebihannya: Ia adalah semulia-mulia ilmu kerana ia langsung berkaitan dengan kitab Allah Al-Qur'an Al-Karim, berdasarkan sepotong Hadis Rasulullah s.a.w.:
Maknanya: Daripada 'Uthman bin 'Affan r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya. (Riwayat Imam Al-Bukhari).
5. Penyusunnya: Imam-imam qira'at.
6. Faedahnya: Mencapai kejayaan dan kebahagiaan serta mendapat rahmat dan keredhaan Allah S.W.T. di dunia dan di akhirat. Insya Allah.
7. Dalilnya: Dari Kitab Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: Bacalah Al-Qur'an itu dengan secara Tartil.
Tartil iaitu bacaan lambat dan tenang serta melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul dan memenuhi hak sifat asli dan sifat mendatang pada huruf yang berkenaan dan memelihara segala hukum Tajwid serta merenung maknanya.
Makna Tartil menurut Saiyidina 'Ali bin Abi Talib ialah mentajwidkan huruf dan mengetahui tempat berhenti.
Daripada Zaid bin Thabit (r.a.) berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah S.W.T. menyukai hambaNya membaca Al-Qur'an secara tepat sebagaimana ia diturunkan. Riwayat Ibnu Khuzaimah.
8. Namanya: Ilmu Tajwid.
9. Masalah yang diperbincangkannya: Mengenai kaedah-kaedah dan cara-cara bacaannya secara keseluruhan yang memberi pengertian hukum-hukum cabangan.
10. Matlamatnya: Memelihara lidah daripada kesalahan membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an pada ketika membacanya. Membaca sejajar dengan penurunannya yang sebenar dari Allah S.W.T.